Background

;

Sunday, February 15, 2009

wanita solehah...

Setiap wanita ingin menjadi wanita 'solehah' atau menjadi lebih solehah..Ini kerana tidak ada harta benda didunia ini yang paling berharga selain daripada wanita solehah..

Dari Abdullah bin Amr bahawa rasulullah SAW bersabda: ''Dunia itu ialah harta benda,sebaik-baik harta benda adalah wanita solehah''.(Riwayat Muslim)

Dalam hal yang sama Rasulullah SAW ada bersabda:''Sebaik-baik harta adalah lidah yang selalu berzikir,hati yang selalu bersyukur,dan isteri solehah yang menolong terjaganya iman setiap mukmin''.(Riwayat Tirmizi dari Tsauban).
Dengan menjadi solehah sajalah wanita boleh masuk syurga dan 'bertemu' dengan Allah diakhirat kelak.

Firman Allah SWT:''Sesiapa yang berharap akan berjumpa tuhannya,maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan jangan ia mempersekutukan sesuatu apapun dalam beribadah kepada tuhannya''.(Al-Kahfi: 110)


Siapakah Wanita Solehah?

Ciri-ciri wanita solehah ada disebutkan dalam Al-Quran dan sunah Nabi SAW. Diantaranya ialah firman Allah SWT:''wanita-wanita yang soleh itu ialah mereka yang taat(kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada kerana Allah telah menjaga (mereka)''.(An-Nisa: 34)

Menurut sabda Nabi SAW:''Apabila seorang wanita itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluan (kehormatan diri)nya dan mentaati suaminya, maka ia akan memasuki syurga tuhannya''.(Riwayat Ibnu Hibban)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sifat isteri yang solehah. Baginda menjawab:''(iaitu) isteri yang menyenangkan apabila dilihat (suaminya),taat apabila diperintah, yang tidak melakukan yang tidak disenangi suaminya dalam urusan dirinya sendiri mahupun dalam persoalan harta milik suaminya''.(Riwayat Nasai'e dan Ahmad)

Siapa wanita solehah itu sebenarnya cukup jelas dan luas diperkatakan ulama dalam kitab-kitab yang muktabar. Samada wanita soleh itu masih bujang ataupun telah menjadi isteri ataupun ibu, mereka dapat dirumuskan sebagai berikut:


BERIMAN KEPADA ALLAH

- Imannya sah dan tepat dengan yang sebenar menurut fahaman ahli sunnah wal jamaah.

- Mutu keimanan dipertingkatkan daripada sekadar tahu (disebut iman ilmu) kepada merasa
benar-benar yakin (iman ayyan).

- Benar-benar dapat merasai kewujudan dan kekuasaan Allah.

- Taat dan patuh kepada perintah dan larangan Allah taala.
*Termasuklah redha kepada Allah dalam menentukan asal-usul kejadiannya.
*Antara redha dan menerima kenyataan diri dijadikan lemah berbanding penciptaan lelaki.

- Hakikat tentang kelebihan lelaki keatas wanita ini memang ada .Ia dijelaskan dengan
Fiman Allah:''...kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas
sebahagian yang lain (wanita)...''(an-Nisa:34)


BERAMAL SOLEH DALAM BERIBADAH KHUSUS

- Ini termasuk dalam persoalan bersuci, mengerjakan solat lima waktu sehari semalam dan
berpuasa pada bulan Ramadhan. Ibadah khusus dilaksanakan dengan sandaran ilmu dan
dijiwai dengan penuh keikhlasan.

BERAMAL SOLEH DALAM MEMELIHARA KEHORMATAN DIRI

-Memelihara kehormatan diri itu ialah dengan menundukan pandangan.

-Wanita solehah pandai menjaga maruah dengan mengekalkan sifat malu.

-Wanita solehah sentiasa menjaga aurat dengan sempurna dan bijak menjauhi fitnah dalam
pergaulan seharian.

-Wanita solehah suka dan selesa melazimi tinggal dirumah.Mereka hanya keluar rumah
setelah ada keperluan syarak secara berteman dan dengan keizinan wali (ibubapa) atau
suami.

-Wanita solehah juga tidak sewenang-wenangnya mempamerkan kecantikan dan perhiasan
diri kecuali kepada mereka yang dibenarkan syarak. Dalam soal bersolek mereka tidak
mengikut tabarruj jahiliah.

-Apabila telah berumah tangga wanita solehah menjaga kehormatan diri sendiri apabila suami
tidak ada,mereka turut menjaga kehormatan dan nama baik suami serta rahsia rumah
tangga.

-Isteri yang solehah juga boleh dipercayai untuk menjaga harta suami. Termasuk dalam harta
suami itu ialah menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak dengan baik.

BERAMAL SOLEH DENGAN TAAT DAN PATUH KEPADA SUAMI

-Atas dasar keimanan kepada Allah, wanita solehah mudah menerima kelebihan darjat suami
atas dirinya sebagai isteri. Padanya itu adalah pangkat lantikan Allah, bukan sewenag-wenang
diminta oleh suaminya. Fiman Allah:''lelaki (suami) itu pemimpin bagi wanita(isteri)'' (an-Nisa:34)

-Dulu kawan, kemudian lelaki itu teman istimewa atau tunangan. Dengan terlaksananya akad
nikah,kini lelaki itu berpangkat suami dan secara automatik berlaku kelebihan darjatnya
mengatasi ibu ayah. Jesteru suami tidak lagi diperlakukan seperti kawan istimewa seperti
sebelum khawin.

-Menerima hakikat aturan syarak ini maka wanita solehah sedia patuh dan taat pada suaminya.
Bahkan sanggup menghormatinya dengan merendahkan diri kepada suami walaupun dirinya
lebih dari segi kekayaan, kelulusan akademik dan latar belakang keturunan. Lidahnya dijaga
daripada meninggikan suara, lebih-lebih lagi daripada berbantah-bantah pada suami.

-Sebagai menerima kepimpinan suami, wanita solehah sangup memberi khidmat dan layanan
tanpa berbelah bagi. Suami juga dijadikan tempat isteri mendapat sandaran dan perlindungan.
Manakala dirinya menjadi tempat penenang dan pelengkap hidup suami.Allah menjadikan
lelaki sebagai tempat sandaran wanita, dan menjadikan wanita sebagai penenang lelaki
sebagaimana firman-Nya:"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya. Dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih
dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bagi
kaum yang berfikir''.(ar-Rum:21).

Apabila kedua-dua sandaran dan penenang ini berkumpul bersama menjadi satu dengan
ikatan kasih dan sayang, maka berkumpullah seluruh kebaikan bagi lelaki dan wanita tersebut.

PUNYAI PANDANGAN HIDUP ORANG SOLEH

Wanita solehah tidak terlepas daripada mempunyai pandangan hidup orang soleh.
Antaranya bahawa kehidupan akhirat lebih utama. Hidup di dunia adalah untuk sementara waktu sahaja. Oleh itu, cukup dan memadai dengan bersederhana dalam kehidupan dunia. Mereka mendorong suami dan keluarga menjalani hidup bukan untuk bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk. Malah lebih suka menabur harta sebagai sedekah agar menjadi pelaburan akhirat.
Bagi wanita solehah ,institusi rumah tangga menjadi medan utama untuk bergelanggang melaksanakan amal soleh. Rumah tangga dilihat sebagai kubu keamanan dan libuk kasih sayang serta tempat ketenteraman dan ketenangan. Baik untuk dirinya, suami dan anak-anak yang dibelai dengan sifat penyayang.
Dalam melagang rumah tangga, zuriat dilihat sebagai aset kebanggaan dirinya suami isteri dan Rasulullah SAW khususnya. Sabda Rasulullah SAW:"Nikahilah wanita yang penyayang dan subur.Sesungguhnya aku berbangga dengan jumlah kamu yang banyak diantara umat-umat yang lain diakhirat kelak".(Riwayat Abu Daun dan Nasai'e)
Tentunya Rasulullah SAW berbangga bukan hanya dengan kuantiti tetapi yang lebih penting ialah kualiti umatnya.
Justeru pendidikan anak-anak mendapat keutamaan dalam rumah tangga wanita solehah. Anak-anak dipastikan benar-benar berjaya menjadi penyejuk mata ayah bonda dengan didikan agama dan adab. Anak-anak dibesarkan dengan penuh kesabaran untuk menjadi anak soleh sejak dari kandungan ibu lagi. Ia bukan sahaja sebagai pelaburan akhirat tetapi juga sebagai penyambung harapan, impian dan perjuangan untuk melihat kalimah Allah menjadi tinggi. Pada ibu yang solehah, biarlah mereka susah kerana mendidik anak-anak sedari kecil daripada disusahkan oleh anak-anak apabila telah besar kerana tidak terdidik.
Wanita solehah juga berpandangan hidup bahawa keredhaan Allah kepada dirinya itu bergantung atas keredhaan suami kepadanya. Hinggakan dalam melaksakan hak suaminya Nabi SAW bersabda:"Mana sahaja wanita yang meninggal dunia, sedang suaminya redha kepadanya, maka wanita itu akan masuk syurga".(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Demikianlah antara beberapa laras rujukan untuk menilai pencapaian azam setiap wanita untuk menjadi solehah dengat semangat hijrah. Hijrah seharusnya dilakukan berulangkali supaya lebih kuat pengaruhnya pada diri dan melekat kesannya di hati. Begitulah sunnatullah dalam mendidik dan mengubah sikap hidup sebagaimana Allah menurunkan ayat-ayat Al-Quran yang serupa berulang-ulang kali.Mudah-mudahan dengan itu dapat petunjuk Allah.
Firman Allah:"Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang; gementar kerananya kulit orang-orang yang takut pada tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, Dengan kitab itu dia menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan disesatkan Allah, mak tiada seorang pun memberi petunjuk baginya".(az-Zumar:23)
Sesungguhnya menjadi tanggungjawab juga kepada suami untuk mendidik dan membimbing isterinya menjadi wanita solehah. Ini kerana dengan berkhawin maka telah selesailah separuh urusan agama isterinya. Justeru menjadi tanggungjawab suami untuk mencukupkan separuh lagi hingga menjadi sempurnalah urusan agama isterinya.

No comments: